Dari dulu hingga sekarang, saya sering mendapat persoalan mengenai cara membuat tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil. Lagi-lagi tengah musim orang berkira sebab kekurangan duit sekarang.
Oleh itu, di sini saya ingin share kembali cara-cara tegas mendapatkan hutang kembali melalui prosiding di Mahkamah Tuntutan Kecil. Ramai juga telah cuba praktikkan tuntutan ini dan buat sendiri namun terkandas kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat seterusnya di Mahkamah.
Jadi saya cadang nak buat kelas berbayar untuk mereka yang benar-benar nak belajar teknik yang dipraktik oleh peguam jika peguam sendiri yang membawa tuntutan kes di Mahkamah Kecil ini.
Ada yang berminat untuk saya anjurkan kelas ini? Cadangan saya nak kenakan RM50 untuk sesi selama 2 jam. Boleh la saya explain panjang lebar apa nak buat bila pihak berhutang tu tak hadir, apa yang boleh dibuat jika dah dapat penghakiman tapi dia still degil nak bayar dan sebagainya.
Ni semua orang kata tricks of the trade dan kena belajar law bertahun-tahun dan jadi peguam yang beramal dulu baru dapat ilmu-ilmu dan skill yang boleh mengembalikan duit anda ini.
Di sini saya share kembali penerangan panjang lebar tentang prosedur Mahkamah Tuntutan Kecil.
Apakah Itu Mahkamah Tuntutan Kecil?
- Diwujudkan untuk mendapatkan tuntutan di bawah RM5,000.00.
- Mempercepatkan proses/prosedur untuk menuntut kembali wang/barangan/bayaran dan/atau apa-apa hutang termasuk pelanggaran kontrak;
- Meringankan beban mahkamah dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan;
- Kos yang terlibat lazimnya hanyalah RM100.
Antara prasyarat yang perlu dipatuhi sebelum memfailkan tuntutan tersebut adalah seperti berikut:
- Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM 5,000.00;
- Kehadiran peguam tidak diperlukan didalam tuntutan ini;
- tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia; dan
- tuntutan tersebut boleh difailkan terhadap mana-mana individu dan syarikat namun tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia. Syarikat tidak dibenarkan untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil.
Apakah Perkara-Perkara Yang Boleh Dituntut?
- Mendapatkan kembali hutang.
- Tuntutan barangan.
- Upah sesuatu perkhidmatan yang tak dibayar.
- Sewa menyewa.
- Tuntutan atas barangan yang rosak.
- Tuntutan persembahan yang tidak dilaksanakan.
Di Mana Tuntutan Perlu Dibuat Dan Bagaimana Hendak Memulakan Saman?
1.Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran. Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.
- Bagi memulakan saman, plaintif dikehendaki mengisi Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah dalam [4] salinan dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutannya. Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit dan apakah asas tuntutan itu.Tandatangan di borang tersebut atau cap jari. Borang 198 tersebut boleh didapati secara percuma.
- Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan tersebut di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua. Plaintif mestilah membayar bayaran pemfailan sebanyak RM20.00. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.
- Seterusnya, plaintif perlu membuat penyampaian Borang 198 kepada alamat terakhir defendan yang diketahui.
- Seeloknya Plaintif perlulah menyertakan satu salinan surat (“cover letter”) untuk diserahkan kepada Defendan bersama-sama dengan borang tersebut. Plaintif hendaklah mendapatkan tandatangan dan/atau cop defendan serta tarikh penyampaian tersebut dibuat. Hal ini akan membantu Plaintif dalam membuktikan penyerahan telah dibuat secara kediri dengan berjaya sekiranya Defendan akan menyangkal penyerahan/penyampaian (“denied service”) yang telah dibuat itu.
- Sekiranya defendan yang telah disampaikan secara sempurnanya dengan Borang 198 mempertikaikan tuntutan, defendan bolehlah menyampaikan pembelaannya dalam Borang 199 yang difailkan dalam empat salinan dalam empat belas hari selepas penyampaian tuntutan itu.
- Apabila peringkat di atas telah selesai plaintif/defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Bagaimana Jika Orang Yang Berhutang Tu Buat Tak Tahu Je Selepas Penghakiman?
Sekiranya Defendan masih bersifat degil dan keras kepala, anda hanya perlu kembali ke Mahkamah Majistret tersebut dan fail kes anda, menggunakan borang 208 yang boleh juga didapati secara percuma.
Sampaikan Borang 208 ini seperti anda menyampaikan Borang 198.
Defendan perlu hadir di Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk menunjukkan sebab, melainkan jika dia menyelesaikan hutang itu dalam tempoh 10 hari dari penerimaan notis.
Di Mahkamah, Mahkamah Majistret mempunyai 3 pilihan untuk berurusan dengan defendan. Mahkamah boleh:
- memberi defendan lebih banyak masa untuk menjelaskan penghakiman itu atau membolehkan bayaran ansuran;
- memerintahkan writ penyitaan dan penjualan. Ini bermakna bailiff yang akan menilai barangan defendan, menyitanya dan lelong. Hasil lelongan kemudiannya boleh digunakan untuk menampung hutang; atau
- perintah defendan untuk dipenjarakan. Jika defendan tidak hadir di Mahkamah yang diarahkan, waran tangkap akan dikeluarkan oleh seorang Majistret.
Sekian,
Moga memperkasakan ilmu perundangan anda.
-Liyana the Lawyer-