Sharing :

Hidup berpoligami : Bagaimana dengan hak menyambut Hari Raya?

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Isu hangat yang ingin diketengahkan pada pada hari ini berkenaan dengan poligami adalah mengenai hak menyambut Hari Raya. 

 

Hal ini berkait rapat dengan keadilan si suami dalam memberikan hak kepada isteri-isterinya di mana keadilan adalah merupakan suatu tanggungjawab yang besar ke atas si suami, lebih-lebih lagi dalam poligami dan ianya sudah tertakluk dalam syarat-syarat di bawah Seksyen 23(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. 

 

Ada isteri sorang pun dah pening nak tunggu giliran balik rumah orang tua untuk raya pertama. Jika kahwin lebih dari satu pula bagaimana? Nak-nak sekarang ni SOP ketat dan isteri di lain-lain negeri. 

 

Tahukah anda, di Malaysia, dalam usaha untuk mengawal amalan poligami daripada berlaku apa-apa yang tidak diingini, undang-undang poligami telah diperkenalkan. 

 

Setiap negeri memperuntukkan bahawa pemohonan poligami yang dibuat perlu mendapat kebenaran bertulis dari Mahkamah Syariah atau pun Hakim Syariah, dan hal ini telah jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 23(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. 

 

Namun begitu, di Kelantan dan Terengganu tiada syarat-syarat yang diberikan kepada seseorang pemohon poligami. 

 

Syarat-syarat bawah peruntukan Seksyen 23(5)(a), (b), (c) dan (d) perlu dibuktikan oleh seseorang pemohon iaitu:- 

 

(a) perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu;  

 

(b) plaintif mampu menanggung nafkah tanggungan sedia ada dan nafkah bakal isteri;  

 

(c) plaintif berupaya memberi layanan adil kepada isteri sedia ada dan bakal isteri; dan  

(d) sama ada perkahwinan poligami menyebabkan dharar syarie kepada isteri sedia ada. 

 

Di sini saya ingin kongsikan sebuah kes mengenai sebuah permohonan poligami yang telah ditolak oleh Mahkamah kerana si suami gagal untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kes tersebut adalah kes HI v MA [2019] 3 SHLR 23. 

 

Si suami dalam kes ini telah membuat permohonan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Shah Alam pada 13 Oktober 2017 dengan alasan:- 

 

(a) perkahwinan poligami itu adalah patut dan perlu dengan alasan; 

 

(i) si suami dan bakal isteri telah lama kenal (lebih kurang 5 tahun);  

 

(ii) si suami dan bakal isteri berkerja di organisasi yang sama;  

 

(iii) si suami berhasrat untuk melindungi dan menjaga maruah bakal isteri; dan  

 

(iv) bagi mengelakkan mudharat dan/atau risiko lebih besar ke atas si suami dan bakal isteri serta ingin menjalinkan hubungan yang sah.  

 

(b) si suami mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung isteri dan tanggungan sedia ada berserta dengan bakal isteri kerana mempunyai pendapatan bulanan yang mencukupi. Gaji kasar perayu adalah sebanyak RM9,975 sebulan;  

 

(c) si suami berkemampuan untuk berlaku adil terhadap isteri sedia ada kerana si suami yakin berupaya memberikan layanan yang adil kepada isteri sedia ada dan bakal isteri; dan  

 

(d) perkahwinan yang si suami cadangkan itu tidak akan menyebabkan mudharat dan menjatuhkan martabat isteri sedia ada berdasarkan alasan bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan dharar syarie kepada isteri sedia ada dan bakal isteri. 

 

Isteri si suami tidak bersetuju dengan permohonan poligami tersebut dan memberikan keterangan seperti berikut:- 

 

(a) poligami tersebut akan menjatuhkan martabat dan maruah si isteri dan menyebabkan dharar syarie kepada si isteri;  

 

(b) si isteri mempunyai kemahuan seksual yang tinggi dan si suami sering gagal melayan kemahuan seks si isteri;  

 

(c) komitmen si suami lebih tinggi daripada pendapatannya sehinggakan si isteri terpaksa membantu/menanggung sebahagian dari komitmen si suami. 

 

Mahkamah menolak permohonan poligami tersebut kerana si suami tidak mempunyai alasan yang mencukupi untuk menunjukkan patut dan perlu untuk poligami dan gagal membuktikan bahawa si isteri mempunyai sebarang kecacatan fizikal yang boleh menghalang daripada perhubungan kelamin serta tidak pernah ingkar terhadap keperluan batin si suami. Oleh sebab itu, si suami tidak mempunyai suatu alasan yang munasabah mengapa harus berpoligami. 

 

Di dalam Islam, hak setiap isteri tidak dibezakan kepada isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat. Semuanya mempunyai hak yang sama ke atas suami mereka. Namun begitu, sudah pasti terdapat pelbagai konflik dalam hidup berpoligami. 

 

Terdapat banyak keluhan yang dibuat oleh isteri-isteri yang mengadu bahawa si suami hanya menyambut Hari Raya bersama isteri pertama dan sebaliknya. Balik hari raya mesti dilakukan mengikut giliran. 

 

Namun begitu, hal ini sepenuhnya bergantung kepada si suami dalam memastikan dia memberikan hak secara adil kepada isteri-isterinya. 

 

Seksyen 24 (b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah memperuntukkan bahawa:- 

 

Sekiranya pemohon mempunyai kemampuan untuk menanggung kesemua isteri dan orang yang akan menjadi orang tanggungannya di dalam perkahwinan poligami tersebut dan hendaklah mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan iaitu memberi layanan yang adil kepada isteri-isterinya. 

 

Sekiranya si suami gagal untuk berlaku adil, para isteri boleh mengambil tindakan undang-undang di mana undang-undang Keluarga Islam di Malaysia mengenakan hukuman penalti ke atas suami yang gagal berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Kebanyakan negeri memberikan penalti iaitu denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

 

Jadi kesimpulannya, jika anda adalah seorang lelaki yang berpoligami, berlaku adil lah dengan merancang sebaiknya nak susun masa untuk berlaku adil dengan para isteri. Dah pandai buat, pandai lah tanggung. 

 

Kepada yang berfikir mengenai poligami tuew, haa renung-renungkanlah adakah anda mampu dan bersedia atau tidak untuk menggalas kepeningan dan tanggungjawab ini. 

Sekian, sharing is caring.