Sharing :

Hukuman Keras Bagi Pendera Kanak-Kanak!

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia untuk melindungi kanak-kanak dalam kes penderaan adalah seperti yang berikut:- 

 

Menurut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), ibu bapa atau penjaga hendaklah mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang terhadap kanak-kanak itu sehingga ia membesar dan mencapai umur 18 tahun.  

 

Tanggungjawab ibu bapa itu termasuklah melindungi kanak-kanak itu daripada apa-apa bahaya samada fizikal, emosi mahupun seksual dan daripada terbabit dalam pergaulan yang tidak baik. 

 

Menurut Seksyen 31 Akta yang sama, Ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga anak-anaknya tetapi menganiaya, mengabai, meninggalkan atau mendedahkan anak-anaknya sebegitu cara hingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi, atau menyebabkan atau membenarkan anaknya dianiaya secara seksual atau menyebabkan atau membenarkan anaknya itu dianiaya sedemikian, 

boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali! 

 

KEGANASAN RUMAH TANGGA 

 

Apabila keganasan rumah tangga dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak, mana-mana orang yang mempunyai maklumat itu boleh memberitahu polis atau Jabatan Kebajikan. 

 

Apabila laporan polis telah dibuat berkenaan dengan satu kesalahan yang melibatkan keganasan rumah tangga sama ada oleh kanak-kanak itu sendiri atau orang lain bagi pihaknya polis akan menjalankan siasatan. 

 

Selepas laporan polis dibuat, pegawai penyiasat atau pegawai kebajikan akan membuat aduan ke hadapan Majistret jika kanak-kanak itu memerlukan perintah perlindungan interim (sementara).  

 

Mahkamah boleh, menurut Seksyen 4(1) Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) semasa menunggu penyiasatan berkenaan dengan perlakuan suatu kesalahan yang melibatkan keganasan rumah tangga, mengeluarkan suatu perintah perlindungan interim yang melarang ibu bapa yang ganas itu daripada melakukan keganasan rumah tangga terhadap kanak-kanak itu. 

 

Jika tertuduh itu dipertuduhkan dengan kesalahan yang melibatkan keganasan rumah tangga di bawah Kanun Keseksaan, polis atau pegawai kebajikan itu boleh membuat aduan terhadap ibu bapa yang ganas dan memohon mendapatkan perintah perlindungan sebagai syarat jaminan bagi kebebasan tertuduh atau setelah mengkompaunkan kesalahan itu di bawah Seksyen 260 Akta Kesalahan Jenayah. 

 

Menurut Seksyen 13 Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521) Mahkamah boleh mengeluarkan perintah perlindungan yang menghalang bapa yang ganas daripada melakukan keganasan rumah tangga. 

 

Dalam tempoh 24 jam selepas dikeluarkan perintah perlindungan atau perintah perlindungan interim, Pendaftar Mahkamah Rendah hendaklah mengemukakan satu salinan perintah itu kepada pegawai bertanggungjawab terhadap daerah polis di mana ibu bapa yang melakukan keganasan tinggal (Seksyen 17 Akta yang sama). 

 

Apa-apa ketakpatuhan terhadap perintah tersebut merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Akta 521). 

 

Mana-mana ibu bapa yang melakukan keganasan dengan sengaja melanggar perintah perlindungan atau mana-mana peruntukkannya jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2000 atau dipenjarakan selama satu tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

 

Jika dia dengan sengaja melanggar perintah perlindungan dengan melakukan keganasan terhadap budak yang dilindungi itu, jika sabit kesalahan dia boleh didenda tidak melebihi RM4000 atau dipenjarakan selama satu tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali. 

 

Jika dia disabitkan bagi kesalahan kedua atau selanjutnya kerana melanggar perintah perlindungan, dia boleh dipenjarakan selama satu tempoh yang tidak kurang daripada 72 jam dan tidak melebihi 2 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM5000 (Seksyen 8 Akta yang sama). 

 

Perkara penting!:- 

 

Menurut Seksyen 28 Akta kanak-Kanak 2001, mana-mana ahli keluarga kanak-kanak itu yang mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa kanak-kanak itu telah dicederakan secara fizikal atau emosi akibat dianiaya, ditinggalkan atau didedahkan, atau dianiaya secara seksual, dia hendaklah dengan serta-merta membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan atau polis.  

 

Mana-mana ahli keluarga yang gagal berbuat demikian adalah melakukan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan dia boleh dilepaskan setelah dijamin berdasarkan syarat yang ditentukan oleh mahkamah. 

 

Jika syarat jaminan itu dilanggar, ia merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahannya, boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali. 

 

Moga artikel saya ini menjawab pertanyaan anda tentang apakah hukuman yang boleh dikenakan kepada ibu bapa yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak tersebut. 

 

Sekian dari saya,  

Liyana the Lawyer