Sharing :

KES ADIK-BERADIK BERGADUH HINGGA SAMAN MALU?

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. 

Pada kali ini saya nak berkongsi satu kes. Kes ini adalah kes Nur Riduwan bin Haji Muhamad Ali dan satu lagi lwn Nur Suhaila binti Mohamad [2019] MLJU 485. 

FAKTA KES. 

Pergaduhan kecil berlaku diantara kedua-dua pihak bermula dengan posting oleh Si Adik (Defendan) yang mendakwa bahawa Kakaknya (Plaintif) berhutang dengan beliau sebanyak RM20,000.00 dan status tersebut telah dimuat naik oleh si Adik di laman Facebook. 

Menurut Plaintif, perkataan-perkataan tersebut adalah kata-kata fitnah kerana Defendan tidak menceritakan perkara yang sebenar.  

Plaintif menuntut daripada Defendan supaya memohon maaf secara terbuka kepada Plaintif tanpa syarat, menyiarkan permohonan maaf terbuka di dalam laman sosial facebook, permohonan maaf atas mesej-mesej melalui whatsapp, mengiklankan permohonan maaf di dalam akhbar harian Bahasa Melayu dan juga gantirugi . 

Defendan menghujahkan bahawa dia bukan memfitnah Plaintif- Plaintif namun hanya menuntut semula wang yang dibayarnya daripada Plaintif sebanyak RM20,000.00 bagi tujuan membeli kereta. Plaintif sememangnya mempunyai hutang kerana Defendan telah memulangkan semula kereta yang dibelinya daripada Plaintif. 

Malahan menurut Defendan, Plaintif-Plaintif yang mencabar Defendan untuk menularkan perkara ini dan menyatakan dia tidak kisah jika ianya ditular. 

KEPUTUSAN HAKIM. 

Setelah meneliti kenyataan yang dikemukakan di laman/posting “facebook” dan dibaca secara keseluruhan di dalam konteks kes ini, Mahkamah berpandangan bahawa, kenyataan itu tidak merupakan satu fitnah kepada Plaintif seperti yang diplidkan di dalam plidingnya. 

Melalui keterangan, Plaintif sebenarnya bersetuju wujudnya satu hutang dan Plaintif sanggup untuk membayar hutang tersebut namun dengan budibicaranya. Oleh itu, Mahkamah berpendapat secara tidak langsung Plaintif-Plaintif sebenarnya mengakui bahawa wujudnya hutang yang dimaksudkan namun jumlahnya bukanlah seperti yang dituntut oleh Defendan.  

Dengan pengakuan Plaintif ini bahawa memang benar Plaintif ada berhutang dengan Defendan, maka Defendan tidak boleh dikatakan memfitnah Plaintif. 

Setelah perbicaraan penuh dijalankan, Mahkamah memutuskan untuk menolak tuntutan Plaintif dengan kos sebanyak RM5,000.00.  

Moga bermanfaat,  

-Liyana the Lawyer-