Sharing :

Pemegang Saham Syarikat Boleh Seleweng Duit Syarikat?

Liyana The Lawyer

Liyana The Lawyer

Petang semalam ada yang consult dengan saya mengenai situasi di mana beliau dan anaknya yang bawah umur memegang saham syarikat. Namun demikian, disebabkan kurang tahu mengenai hak sebagai pemegang saham, beliau dan anaknya tidak pernah menerima dividen atau keuntungan yang sepatutnya dari syarikat sejak tahun 2011 sehinggalah kini. 

 

Walaupun begitu, apabila Syarikat membuat pinjaman bank, tandatangan beliau masih diminta oleh pemegang saham yang lain. Aduh, ini amatlah salah dan boleh menjerat diri. Keuntungan Syarikat tak dapat, namun liabiliti Syarikat ditanggung!. 

 

Memang di Malaysia, kesedaran mengenai Company Law atau Undang-Undang Syarikat adalah sangat rendah. Dan hanya ada segelintir peguam sahaja di Malaysia yang benar-benar mendalami ilmu Company Law ni sebab ianya bukanlah sesuatu yang senang dan boleh dibantai sahaja. 

 

Jadi jawapan saya kepada situasi di atas di mana Pengarah -pengarah Syarikat yang lain tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah, antara remedinya terletak di bawah seksyen 346 Akta Syarikat 2016 dimana s346(a) memperuntukkan situasi dimana penindasan dan penyalahgunaan kuasa pengarah -pengarah ini adalah secara berterusan dan hal ehwal syarikat dikendalikan dalam keadaan menindas hak syarikat itu sendiri dan tidak mengutamakan kepentingan syarikat. 

 

346(b) Akta Syarikat 2016 pula memperuntukkan situasi dimana penindasan ini berlaku dulu. Mahkamah juga boleh, sekiranya difikirkan bersesuaian, memerintahkan Syarikat tersebut digulung. Selain itu, Mahkamah boleh memerintahkan pampasan dibayar kepada mereka yang ditindas sepertimana yang telah berlaku dalam kes Koh Jui Hiong & Ors v. Ki Tak Sang And Another Appeal . 

 

Di dalam kes Re Kong Thai Sawmill (Miri) Sdn. Bhd, ianya melibatkan Syarikat dimana saham terbesar dimiliki oleh 6 orang adik beradik lelaki. Prosiding mahkamah dimulakan oleh salah seorang dari adik yang memiliki saham minoriti sebanyak 2.5% yang bernama Sung. Sung juga merupakan salah seorang dari pengarah syarikat namun beliau telah melepaskan jawatan ini sebelum memulakan prosiding mahkamah. 

 

Sung mempunyai dua orang abang yang bernama Siew & Siong yang memegang saham sebanyak 63.5%. Siew merupakan Pengerusi dan ‘Managing Director’ manakala Siong merupakan salah seorang dari Pengarah syarikat. 

 

Diantara perkara yang diadukan oleh adik lelaki ini adalah cara pengurusan Syarikat dimana :- 

 

  1. Audit menunjukkan bahawa Syarikat ini telah mengaut keuntungan sebanyak Rm8juta namun hanya RM2juta sahaja yang diumumkan sebagai dividen. Selainnya telah dibelanjakan sebagai ‘entertainment expenses’ 

 

  1. Sebuah kapal layar dibeli dan wang pinjaman juga telah diberikan kepada sesetengah ahli politik. 

 

  1. Ada sebahagian wang syarikat juga telah digunakan sewenang-wenangnya seakan akan tabung peribadi oleh pesalah laku. 

 

Di sini Mahkamah telah memutuskan bahawa terdapatnya penyelewengan duit oleh kedua-dua abang ini dan pesalah laku ini telah diperintahkan untuk membayar kembali wang tersebut. 

 

Terdapat banyak lagi kes-kes yang telah diputuskan dan prinsip perundangan berkaitan Undang-Undang Syarikat di Malaysia selaras dengan Akta Syarikat 2016. 

 

Moga artikel saya ini membuka mata kepada pemilik syarikat, pemegang saham dan juga Pengarah syarikat bahawa terdapat banyak perkara yang anda perlu ambil tahu untuk memastikan anda tidak terjerat di dalam masalah perundangan di kemudian hari dan juga ianya adalah untuk melindungi hak anda. 

 

p/s: dulu time Masters saya dapat ‘A’ dalam semua subjek Company Law. Subjek tu susah tau. Tu je nak bagitau 

 

Sekian, 

Liyana the Lawyer