Tanya Pakar – Da’i Syed, Tahanan Reman Dan Whistle Blower- Bahagian 1
Kelmarin, saya telah ditemu bual oleh sebuah program media informatif mengenai kes terkini dan terhangat di pasaran iaitu Da’i Syed.
Kata penemubual, orang ramai patut mengetahui apa sebenarnya ulasan dari pakar undang-undang dan bukanlah bersandarkan kepada pandangan netizen yang rata-ratanya tidak arif dalam selok-belok perundangan. Berikut merupakan soal-jawab dalam temubual tersebut:-
Soalan:-
Apakah maksud tahanan reman, bagaimana seseorang ini layak ditahan reman dan adakah ini bermaksud dia bersalah? (kena ada report dahulu atau tidak sebelum kena tahan, berapa hari tahanan etc?)
Pertama sekali, tiada seorang boleh dilabelkan bersalah kecuali dia telah disabitkan oleh Mahkamah yang kompeten setelah perbicaraan penuh atau setelah OKT membuat pengakuan salah di hadapan Majistret atau Hakim di dalam prosiding perbicaraan menurut Seksyen 173 KTJ.
Dalam kes ini, kita difahamkan bahawa dia ditangkap dan sedang disiasat oleh polis atas beberapa jenayah seksual, antaranya adalah jenayah rogol yang didakwa dilakukan pada September 2019 yang lalu.
Untuk kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, ia adalah kesalahan yang polis boleh tangkap tanpa memerlukan waran menurut peruntukan Jadual Pertama, Kolum Ketiga, Kanun Tatacara Jenayah.
Bagi soalan sama ada perlu ada laporan polis dahulu atau tidak sebelum ditangkap, jawapannya adalah tidak kerana polis mempunyai kuasa untuk menghalang sesuatu jenayah itu daripada dilakukan (Seksyen 103 KTJ) dan jika sesuatu jenayah yang dilakukan itu berada di dalam pengetahuan polis, polis boleh menangkap suspek walaupun belum ada laporan polis. Dalam kes Tan Pin Seng v PP [1998] 1 SLR 418, laporan polis bukan syarat untuk pihak polis memulakan siasatan kes jenayah.
Contoh jenayah bunuh dan rompak juga adalah jenayah yang boleh ditangkap tanpa waran. Bayangkan kejadian rompak berlaku di depan polis, polis boleh menangkap suspek tanpa ada waran dan tanpa ada laporan polis.
Tapi kejadian rogol selalunya berlaku tanpa adanya saksi dan tersembunyi, dan kes ini pula didakwa berlaku tahun lalu (sudah lama). Jadi, bagaimana pihak polis hendak tahu tentang kejadian jenayah rogol tersebut tanpa ada saksi atau pengadu yang datang membuat laporan polis. Jadi, walaupun laporan polis bukan syarat untuk polis menyiasat dan menangkap suspek, dalam kes ini tangkapan dibuat berkait laporan polis yang dibuat oleh pengadu (mangsa rogol berkenaan).
Laporan polis yang dibuat oleh pengadu dalam kes ini adalah menurut Seksyen 107 KTJ, iaitu maklumat awal berkenaan jenayah rogol yang didakwa pengadu berlaku September 2019. Melalui maklumat awal inilah polis bertindak menangkap suspek.
Seksyen 28 KTJ memperuntukkan had masa 24 jam, dan dalam tempoh ini jika siasatan tidak dapat diselesaikan dan jika pihak polis tidak berniat untuk melepaskan suspek dengan jaminan polis, suspek perlu dihadapkan ke hadapan Majistret dan pihak polis perlu membuat permohonan di bawah Seksyen 117 KTJ bagi menahan lanjut (reman) suspek.
Jadi, “Reman” dalam erti kata lain adalah “tahan semula” sementara pihak polis melengkapkan siasatan.
Bagi siasatan di bawah kes jenayah yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang dari 14 tahun, polis mempunyai hak untuk memohon 7 hari reman bagi permohonan pertama dan tambahan 7 hari lagi bagi permohonan kedua.
Tempoh berapa lama reman diberikan dalam setiap permohonan adalah berdasarkan budi bicara kehakiman majistret (judicial discretion).
Dalam kes Re Mohamad Ezam Mohd Nor [2002] 5 CLJ 156, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pemohon/pegawai polis yang memohon perintah reman perlu berpuas hati bahawa dakwaan atau maklumat yang diperolehi oleh pihak polis hendaklah berasas sebelum membuat permohonan perintah reman, dan Majistret mempunyai tanggungjawab untuk memutuskan dengan budi bicara kehakiman.
Majistret mesti mengambil kira, dengan melihat kepada diari siasatan, bahawa:-
(1) maklumat atau aduan yang diperolehi adalah berasas atau boleh dipercayai:
(2) siasatan masih belum selesai:
(3 Siasatan yang sedang berjalan memerlukan saksi-saksi atau keterangan bagi melengkapkan siasatan:
(4) dan untuk tujuan tersebut, reman adalah perlu bagi memastikan:
(a) kehadiran Orang Kena Tuduh di Mahkamah.
(b) OKT tidak mengganggu saksi atau pengadu:
(c) OKT tidak menganggu atau mengusik bahan bukti yang masih dalam proses untuk dikumpulkan.
Soalan:-
Sebelum ini, Da’i Syed membuat laporan polis mengatakan dia di fitnah oleh seorang pengguna twitter. Mengapa pengguna tersebut tidak ditahan atas tuduhan fitnah atau untuk membantu siasatan?
Kesalahan memfitnah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 499 – 502 Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang tidak boleh ditangkap tanpa waran. Itu salah satu sebab mengapa pengguna twitter tersebut tidak ditahan dan jika terdapat alasan lain, kita tak ada maklumat mengenainya.
Tapi ini tidak bermakna pihak Da’i Syed tidak boleh mengambil tindakan sama ada di Mahkamah Jenayah atau Mahkamah Sivil.
Jika, Da’I Syed hendakkan pengguna twitter tersebut dihukum seperti penjara atau denda, dia boleh memulakan prosiding jenayah dengan mengadu terus kepada Majistret dan mengeluarkan saman, dan pengguna Twitter tersebut akan dipanggil untuk menjawab pertuduhan.
Kebiasaannya, pengadu (Dai Syed) perlu melantik peguam sendiri untuk menjalankan pendakwaan ke atas pengguna Twitter tersebut. Tetap jika Syed mahukan pampasan dan gantirugi, dia boleh memulakan tindakan sivil.
Sambung Bahagian 2 Dalam post seterusnya di https://www.facebook.com/liyanathelawyer/posts/3560775773991192
-Liyana the Lawyer-
Tanya Pakar – Da’i Syed, Tahanan Reman Dan Whistle Blower- Bahagian 2
Soalan:-
Ada atau tidak tempoh “sah laku’ satu satu kes jenayah itu perlu dilaporkan kepada polis? Dalam kes Da’i Syed, pengadu mengatakan dia dirogol lebih setahun lalu.
Dalam kes jenayah tidak ada had masa bagi sesuatu jenayah itu dilaporkan.
Lewat dalam membuat laporan polis atas sesuatu kejadian jenayah, lebih-lebih lagi dalam kes jenayah rogol adalah munasabah. Banyak faktor yang menyebabkan kelewatan tersebut (walaupun kelewatan juga boleh menyebabkan laporan polis tersebut diragui kebenarannya)
Hal tentang kelewatan membuat laporan di dalam jenayah seksual telah diberi ulasan oleh Mahkamah Agung India di dalam kes State of Punjab v Gurmit Singh & Ors (1996) 2 SCC 384:
Dalam kes ini Mahkamah berpandangan bahawa dalam kes jenayah seksual, kelewatan membuat laporan maklumat pertama/awal (dalam kes Da’I laporan oleh pengadu/mangsa) boleh disebabkan oleh pelbagai alasan terutamanya keengganan mangsa atau keluarga mangsa untuk mengadu kepada polis kerana risaukan reputasi mangsa akan menjadi buruk dan untuk menjaga kehormatan diri dan keluarga.
Berkemungkinan juga mangsa berdiam diri sehingga tahap mangsa tidak lagi mampu menyimpan rahsia itu seorang diri dan mula memberitahu keluarga. Jadi, tidak hairan jika banyak kes jenayah seksual diadukan setelah sekian lama.
Bagaimanapun, tujuan laporan maklumat pertama (laporan polis pertama) adalah untuk memaklumkan seberapa segera akan kejadian jenayah yang berlaku, untuk merekodkan keadaan kes yang didakwa berlaku sebelum pengadu terlupa akan butiran kejadian dan sebelum pengadu sempat memikirkan untuk menokok tambah cerita kepada kejadian jenayah tersebut, dan juga perlu diingatkan bahawa laporan tersebut boleh dijadikan bahan keterangan di Mahkamah apabila pengadu disoal balas oleh Peguambela nanti.
Soalan:-
Selepas tahanan reman selesai, apakah proses normalnya? Kenapa ada yang dibebaskan dengan jaminan polis contohnya, adakah ini bermakna suspek tidak bersalah?
Selepas tahan reman tamat, OKS perlu dibebaskan dengan jaminan polis atau dituduh di hadapan Majistret.
Perlu diingatkan, suspek tidak boleh dilabel sebagai bersalah selagi dia belum disabitkan atau pengakuan salah belum diterima oleh Majistret di dalam prosiding Mahkamah.
Dibebaskan dengan jaminan polis juga bukan bermakna suspek tidak melakukan kesalahan seperti yang dituduhkan. Kemungkinan pihak polis masih memerlukan masa untuk mencari saksi tambahan atau bukti tambahan dan sebagainya dan apabila semua ini telah selesai, pihak polis akan memaklumkan kepada suspek tadi bahawa mereka akan mendaftarkan kes dan suspek perlu hadir ke Mahkamah pada sekian-sekian hari bulan bagi menghadapi pertuduhan. Apabila dituduh di Mahkamah, suspek tadi akan dipanggil sebagai Orang Kena Tuduh dan bukan suspek lagi.
Soalan:-
Ada kes atau tidak kepada ‘whistle blower’ seperti wanita yang membuat muat naik twitter menuduh Da’i Syed merogol kalau benar tuduhan tersebut? Dan jika tidak benar, bolehkah wanita tersebut di dakwa?
Sama seperti jawapan kepada Soalan 2 di atas mengenai pendakwaan di Mahkamah Jenayah.
Kalau tuduhan tersebut tidak benar, maka pihak OKT boleh memfailkan saman terhadap perempuan tersebut, sama ada untuk pendakwaan di dalam Mahkamah jenayah (bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan) atau saman untuk kes di dalam Mahkamah sivil atas sebab memfitnah di bawah Akta Fitnah 1957.
Dai Syed tidak perlu membuktikan kerugian kerana jika ia adalah suatu fitnah, ia adalah fitnah kerana atas Dai Syed melakukan jenayah yang dihukum pemenjaraan.
Soalan:-
Berapa lama boleh kena penjara for tuduhan rogol? Dan jika OKT tiba-tiba didakwa bersalah di atas tuduhan rogol smpi 7 mangsa ke berapa maksimum hukuman dia boleh kena?
Jika OKT didapati bersalah merogol seorang sehinga 3-4 kali maka boleh jadi hukuman dikenakan serentak. Manakala, jika didapati OKT bersalah melakukan jenayah tersebut dia atas mangsa-mangsa berbeza, ada kembarangkalian hukuman penjara tersebut boleh berjalan secara berturutan. Kira macam penjara seumur hidup.Tapi jarang Hakim bagi consecutive. Itu kes yang paling teruk lah tu. Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Anda boleh membac Bahagian 1 di sini https://www.facebook.com/liyanathelawyer/posts/3560740393994730
Sekian, moga bermanfaat untuk pengetahuan anda semua,
-Liyana the Lawyer-
© 2024 LiyanaTheLawyer
WhatsApp Me